Perang Dunia Kedua Kor_Ke-III_(India_British)

Kor Ke-III (India) merupakan ketumbukan darat utama yang mengambil bahagian dalam Pertempuran Malaya dan seterusnya Pertempuran Singapura dalam tahun 1941 dan 1942. Ia diperintah Leftenan Jeneral Sir Lewis "Piggy" Heath.

Kor Ke-III ditubuhkan pada pertengahan tahun 1941 sebagai sebahagian daripada Malaya Command apabila keadaan antara Britain dan sekutunya dengan Empayar Jepun di Asia Tenggara menjadi tegang. Pada 7 Disember 1941 Kor ini terdiri daripada Divisyen Infantri ke-9 India, di bawah perintah Mejar Jeneral Barstow, Divisyen Infantri Ke-11 India di bawah Mejar Jeneral David Murray-Lyon, pemerintahan Kawasan Talian Perhubungan, dan Penang Fortress ('Kubu Pulau Pinang').[2] Banyak perjawatan dalam formasi-formasi di dalam Kor Ke-III disisi oleh anggota yang tidak terlatih oleh sebab pengembangan mendadak Tentera India British sejurus sebelum Perang Dunia Kedua.

Pihak British membuat rancangan — Operasi Matador dan Operasi Krohcol untuk bergerak ke dalam selatan Siam bagi menahan kemaraan pasukan Jepun. Namun, oleh sebab tidak mendapat amaran awal yang mencukupi, rancangan-rancangn tersebut terpaksa dibatalkan. Formasi yang dipertanggungjawabkan untuk operasi ini, Divisyen Infantri Ke-11, yang bersiap sedia menjalankan operasi serangan, terpaksa menjalankan operasi pertahanan dan membuat persiapan pertahanan seperti memasang periuk api, dawai berduri, membina kubu mesingan dan persiapan lain. [3]

Kor Ke-III diserang Tentera Darat Ke-25 Jepun yang mendarat di Pattani, Singora dan Kota Bharu, dan ditolak pasukan Jepun ke arah selatan Semenanjung Tanah Melayu. Pasukan Jepun menggunakan taktik berkesan dalam Kempen Tanah Melayu: apabila berhadapan dengan kedudukan pertahanan musuh, mereka akan meninggalkan sepasukan kecil (screen atau 'penghadang') untuk terus mengasak musuh sementara pasukan besar akan menyusup ke dalam hutan di rusuk musuh dan mengelilingi dan menyerang musuh. Taktik ini membenarkan mereka mara dengan pantas. Kor Ke-III dan semua pasukan British meninggalkan Tanah Melayu dan berundur ke Singapura. Pasukan terakhir British daripada Kor Ke-III tiba di Singapura pada pagi 31 Januari 1942. Di Singapura Kor Ke-III diberi tanggungjawab mempertahankan pantai timur laut Singapura. Selepas bertempur selama 14 hari, Kor Ke-III, bersama-sama pasukan British lain, menyerah diri pada 15 Februari 1942. Beberapa orang tentera India Kor Ke-III yang menjadi tawanan perang kemudiannya direkrut pihak Jepun untuk menyertai Tentera Kebangsaan India dan menentang British.[4]